Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Habakuk 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Orang benar akan hidup dengan imannya

1Aku akan berdiri di tempat kawalanku

dan mengambil tempat di atas kubu.

Aku mahu meninjau untuk melihat apa yang akan difirmankan-Nya kepadaku

dan apa yang harus kujawab apabila Dia menghujah pengaduanku.

2Lalu Tuhan menjawab aku demikian,

"Tulislah penglihatan itu dengan jelas pada papan-papan loh,

supaya orang yang berlari pun dapat membacanya.

3AMemang penglihatan itu masih menanti waktu pernyataannya,

tetapi akan segera menuju kesudahannya tanpa berdusta.

Kalaupun tampak seperti lambat, tetap nantikannya,

kerana pasti akan ternyatanya juga dan tidak akan berlengah.

4BSesungguhnya, orang yang meninggikan diri tidak lurus hatinya,

tetapi orang benar akan hidup dengan imannya.

5Apatah lagi khianat memang sifat air anggur,

si sombong yang tidak pernah tenang.

Besar sungguh nafsu serakahnya bak alam kubur,

bak maut yang tidak kenyang-kenyang,

yang terus mengumpulkan

dan menghimpunkan segala bangsa dan suku bangsa."

Sengsara menimpa umat Kasdim

6Bukankah kesemua itu akan mengejeknya dengan ibarat

dan teka-teki cemuhan terhadapnya yang berbunyi,

'Malangnya orang yang memperkaya diri dengan apa-apa yang bukan miliknya

dan yang membebankan diri dengan barang gadaian!

Berapa lama lagikah sedemikian?'

7Bukankah dalam sekejap mata akan bangkit para pemiutang yang menggigit engkau

dan akan terjaga kalangan yang membuat engkau gementar?

Engkau akan menjadi jarahan bagi mereka!

8Atas engkau yang telah menjarah banyak bangsa,

segala suku bangsa yang tersisa akan menjarah engkau,

atas sebab darah manusia yang tertumpah itu

dan lantaran keganasan terhadap negeri, kota, dan seluruh penduduknya itu.

9Malangnya dia yang mengejar laba haram bagi isi rumahnya!

Orang itu bermaksud meninggikan kedudukan sarangnya

agar terlepas daripada jangkauan malapetaka.

10Engkau telah menetapkan keaiban atas isi rumahmu dengan memangkas banyak suku bangsa.

Engkau telah berdosa terhadap dirimu sendiri.

11Batu daripada tembok akan berseru-seru

dan alang daripada rangka rumah akan menyahut jawapannya.

12Malangnya orang yang mendirikan kota dengan penumpahan darah

dan yang mengasaskan kota berdasarkan kezaliman!

13Sesungguhnya, bukankah atas penentuan Tuhan alam semesta,

bahawa bangsa-bangsa melelahkan diri untuk sesuatu yang akan dimakan api sahaja

dan suku-suku bangsa meletihkan diri untuk sesuatu yang sia-sia sahaja?

14CSememangnya bumi akan dipenuhi dengan pengetahuan tentang kemuliaan Tuhan seperti air meliputi lautan.

15Malangnya orang yang memberikan sesamanya minuman bercampur bisa amarah

demi memabukkan dia agar dapat melihat auratnya!

16Engkau akan kenyang dengan keaiban yang menggantikan kehormatan.

Minumlah juga engkau dan jadilah seperti orang yang tidak bersunat!

Cawan di tangan kanan Tuhan akan beralih kepadamu

dan aib besar akan menimpa kehormatanmu.

17Keganasan yang dilakukan terhadap Lebanon akan meliputi engkau

dan pemusnahan binatang-binatang akan mengejutkan engkau,

kerana darah manusia yang tertumpah itu

dan kerana keganasan terhadap bumi, kota, dan seluruh penduduknya itu.

18Apa faedahnya berhala walhal si pembentuknya yang mengukirnya

atau patung tuangan yang mengajarkan dusta itu?

Pembentuknya percaya kepada barang yang dibentuknya sendiri,

padahal yang dibuatnya hanyalah berhala-berhala yang bisu.

19Malangnya orang yang berkata kepada kayu, "Bangkitlah!"

atau kepada batu bisu, "Bertindaklah!"

Itukah pengajaranmu?

Lihat, benda itu hanya bersalut emas dan perak.

Tidak ada roh sama sekali di dalamnya!

20Tetapi Tuhan hadir di dalam Bait-Nya yang suci.

Biarlah seluruh bumi berdiam diri di hadirat-Nya!